Kepimpinan Ulamak, rakyat Kelantan bertuah PDF Cetak Emel
TUESDAY, 07 JULY 2009 12:09

 

SUNGAI SOK, 7 Julai – "Rakyat negeri Kelantan sungguh bertuah kerana berada dibawah kepimpinan ulamak dan bebas daripada rasuah sejajar dengan kehendak Islam," Zulkefly Mohamad Omar berkata demikian dalam satu ceramah umum di Kampung Slow Machang malam tadi.


Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu menasihati penduduk agar tidak terpedaya dengan janji UMNO untuk membawa perubahan, yang menurutnya hanya retorik semata kerana hakikatnya UMNO itu sendiri tidak pernah berubah walaupun slogan mereka berubah-ubah mengikut pemimpin mereka.

Ujarnya, walaupun zaman “Kepimpinan yang telus dan bersih” baru sahaja berlalu, namum negara dikejutkan dengan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang bernilai RM 12.5 billion.

Membandingkan urus tadbir antara negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan, beliau menyifatkan Kelantan jauh lebih berjaya mentadbir dengan cemerlang berbanding negerinya yang diurus tadbir kerajaan BN.

“Baiki dulu negeri dibawah pentadbiran BN,” ujar beliau sebelum menyatakan hasrat PAS untuk memulihkan sistem demokrasi, menghapuskan ISA dan dasar PPSMI.

Bercakap dalam majlis yang sama, Nik Mohd Amar Nik Abdullah meminta rakyat untuk tidak membandingkan taraf pendidikan dalam memilih calon wakil rakyat Manek Urai akan datang.

"Keutamaan haruslah diberi kepada calon yang boleh menyelami keperluan rakyat dan boleh membawa suara rakyat kepada pimpinan atas," ujar beliau yang merupakan exco kerajaan negeri.

Selain mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan janji pembangunan yang digula-gulakan oleh UMNO dan menjadikan pengalaman pilihanraya 2004 sebagai iktibar, beliau juga meminta agar pengundi membulatkan tekad untuk mengekalkan kuasa meminpin pada PAS untuk menegakkan Islam berpandukan Al-Quran kerana tidak pasti UMNO akan menggunakan kuasa itu kearah mana.